Ahad, 21 Februari 2010

Sastera Islam berasaskan teori Takmilah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm


VAKUM akal dan pemikiran sesetengah individu yang berpandangan sempit terhadap agama Islam turut memberi kesan terhadap karya sastera. Sastera adalah medium paling halus yang boleh membawa arus pemikiran dalam masyarakat.

Lalu, apabila kesedaran Islam meningkat dan memberi impak kepada perkembangan sastera Malaysia, ia dilihat sebagai fenomena positif.

Selaras dengan itu, sastera Islam mula dikaji di Malaysia. Shafie Abu Bakar mengutarakan satu konsep iaitu Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid. Kemudian, beliau menggunakan istilah takmilah dalam Nadwah Sastera Islam Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 1993. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Takmilah: Teori Sastera Islam.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Samsina Abd. Rahman, teori takmilah berdasarkan kepada tujuh prinsip dengan bertunjangkan sifat kamal (kesempurnaan) Allah s.w.t. dan al-kamil Rasulullah s.a.w. dalam membina karya berunsur Islam.

Teori ini bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya melibatkan pelbagai aspek iaitu ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil, keislaman yang bersifat akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah, pengkarya yang mengistikmalkan diri dan khalayak ke arah insan kamil.

Istikmal merujuk kepada pengkarya yang perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Dalam hal ini, sastera boleh berperanan dalam menyempurnakan ilmu lain seperti sains, perubatan, kejuruteraan, geografi dan sejarah. Kebanyakan penulis mempunyai latar belakang berbeza seperti Aminah Mokhtar, seorang jururawat yang menghasilkan karya-karya berunsur agama.

“Karya sastera Islam yang asli bersifat lebih syumul (menyeluruh). Teori takmilah, menurut Shafie, mempunyai dua komponen utama iaitu komponen falsafah dan teknik berkarya,” jelas Samsina yang mengkhusus dalam Kesusasteraan Melayu khusus dalam Puisi Islam, Teori Sastera Islam (Takmilah) dan Kesusasteraan Melayu Mistik (tasawuf).

Beliau berpendapat, perkembangan sastera Islam di Malaysia terbahagi kepada dua. Pertama, penulis muda yang berlatar belakang pendidikan agama yang cenderung menulis tentang Islam. Sudut kedua ialah penulis terkenal yang memilih karya berunsur Islam sesuai dengan peningkatan umur mereka. Antara hasil karya berunsur Islam ialah novel Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussin, kumpulan puisi al-Amin karya A. Samad Said yang juga Sasterawan Negara dan novel Muhammad Akhir karya Anas K. Hadi Maja.

“Contohnya, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari yang aktif melahirkan puisi Islam serta Faisal Tehrani dengan genre cerpen dan novel menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penulis muda.

“Bagaimanapun, penglibatan penulis wanita dengan karya berunsur Islam tidak begitu ketara kerana kita juga kekurangan penulis wanita,” ujar beliau yang turut aktif melahirkan puisi-puisi berunsur Islam.

Sastera Islam perlu lebih fokus kerana ia membabitkan ilmu agama, fardu ain dan fardu kifayah. Penulis sastera Islam mempunyai tugas berat kerana setiap karyanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Soal agama bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.

Perkembangan sastera Islam negara dipercayai bermula pada 1930-an. Ia semakin ketara pada 1970-an kerana ketika itulah berlakunya kebangkitan Islam. Melalui kerjasama antara DBP dan persatuan penulis setiap negeri, karya sastera berunsur Islam semakin bercambah dengan kemunculan penulis-penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.

MAKLUMAT SHAFIE ABU BAKAR:

SHAFIE ABU BAKAR
(Shafie bin abu Bakar, Dr.)

LAHIR : 27 Mei 1942, di Paka, Dungun, Terengganu.
ALAMAT : No. 11, Jalan 1/3K, Bandar Baru Bangi, 43650 Bangi, Selangor Darul Ehsan.


DAERAH kelahirannya begitu jauh terpencil dalam kelompok kehidupan tradisi Melayu, namun kesedaran mindanya (ibu bapanya meninggal sejak kecil) terhadap pendidikan amat besar. Shafie menerima pendedahan awal pengajian agama di Pondok Islahiah, Kuala Berang sehinggalah beliau memohon memasuki Sekolah Arab setelah terpengaruh dengan rakan-rakannya yang ramai bersekolah di situ. Dengan latar belakang pendidikan agama yang kukuh, beliau berusaha mencipta puisi yang bertemakan Islam. Apabila menjadi ahli akademik di pusat pengajian tinggi, Shafie gigih mencari dan meneliti teori kesusasteraan Islam melalui sumber pemikiran dan estetika dalam sastera Melayu.

Shafie mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Kampung Nyiur, Paka, Terengganu dari tahun 1949 hingga 1955 dan di Sekolah Arab Kuala Berang dari tahun 1956 hingga 1958. Pada tahun 1958 hingga 1962 Shafie belajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan lulus Ibtidai 5 dan Thanawi 9. Semasa menjadi guru Sekolah Menengah Agama di Terengganu (1963–1970) Shafie belajar secara persendirian dan lulus Sijil Rendah Pelajaran pada tahun 1964, Sijil Pelajaran Malaysia (1966) dan Sijil Tinggi Pelajaran (1969). Apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada tahun 1970, Shafie adalah antara mahasiswa sulungnya. Di situ Shafie memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian Kelas Satu pada tahun 1974. Shafie turut memperoleh Diploma Pendidikan dengan Kepujian dari universiti yang sama pada tahun 1975. Kemudian pada tahun 1977, Shafie mendapat Ijazah Sarjana Persuratan dan akhirnya pada tahun 1991 Shafie memperoleh Ijazah Doktor Falsafah juga dari UKM.

Selepas menamatkan pengajian menengah, beliau menjadi guru dan mengajar di beberapa buah sekolah menengah agama di Terengganu dari tahun 1963 hingga 1970, termasuklah di Sekolah Menengah Arab di Sekolah al-Ma’arif Kampung Raja Mohamad Arif, Besut dan Sekolah Menengah Arab Sultan Ismail, Dungun. Pada tahun 1974 hingga 1976, Shafie menjadi pengajar di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM. Beliau menjadi pensyarah bergelar Profesor Madya di Jabatan Persuratan Melayu, UKM dan bidang pengajaran beliau ialah Falsafah Islam dan hubungannya dengan pemikiran Melayu. Selepas bersara (Mei 28 1999) beliau bergiat dalam Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Kajang) mulai November 1999.

Shafie mula menulis pada tahun 1962, iaitu sewaktu dalam Kelas Thanawi di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin. Semangat menulisnya banyak didorong oleh penulis – bekas pelajar sekolah tersebut seperti Ibrahim Fikri, Misbaha dan Alias Ali. Beliau pernah menyertai peraduan menulis cerpen untuk kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi gagal memenangi sebarang hadiah. Namun Shafie tidak berputus asa. Beliau terus menghantar karyanya ke DBP dan maklum balas yang diperoleh begitu memberangsangkan. Akhirnya, hasil daripada ketekunan dan kesabarannya, puisi beliau yang berjudul “Asas Peribadi” mendapat tempat dalam majalah Dewan Bahasa, Mac 1971. Sejak itu, puisi dan esei beliau sering disiarkan dalam Dewan Masyarakat, Mastika, Dian, Kiblat, Al-Islam, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Banyak tulisan ilmiah beliau yang menyentuh sastera Islam dan Islam sebagai ad-Din diterbitkan dalam pelbagai buku ilmiah. Sejak tahun 1993, Shafie memperkenalkan pula Teori Takmilah, iaitu teori sastera Islam berasaskan perspektif sastera Melayu. Beliau kini giat mengolah dan memperkembangkan teori tersebut sebagai usaha menemukan satu bentuk sastera Islam yang bersumberkan estetika dan pemikiran dalam sastera Melayu.

Puisi-puisi Shafie termuat dalam banyak antologi bersama, antaranya ialah Puisi Baharu Melayu 1961-1986, Mengenang-Mu: Puisi-puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Puisi Sepanjang Zaman, Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985, Modern Malaysian Poetry dan Puisi-puisi Nusantara. Beliau telah beberapa kali memenangi Hadiah Karya Sastera bagi genre puisi, iaitu pada tahun 1975, 1976 dan Hadiah Sastera Malaysia 1984/85.

Pengalaman serta sumbangan kreatif, pemikiran dan kepakaran Shafie yang luas dalam bidang kesusasteraan mendapat pengiktirafan daripada pelbagai organisasi. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Istilah Kesusasteraan, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia, MABBIM, 1992, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengajian Melayu 1992/93, Panel Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan DBP 1988/89, 1990/91, 1992/93. Beliau juga dilantik sebagai Panel Peraduan Novel Darul Iman anjuran Kerajaan Negeri Terengganu 1990/91, Panel Hadiah Sastera Malaysia, 1986/87, 1988/89, 1990/91, 92/93, 94/95, 96/97, 98/99. Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa “Knows Our Neighbour” kelolaan Toyota Foundation pada tahun 1980 hingga 1983. Selain itu, Shafie juga ialah Penyelaras Projek Penerbitan Jabatan Pengajian Melayu dan Fakulti, Hakim Peraduan Cerpen Berunsur Islam ke-V, VI dan VII anjuran Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam (kini JAKIM) pada 15 September 1982 hingga 1986.

KARYA
Puisi
- Puisi-puisi Bangi (antologi bersama). Bangi: Grupemuisi Universiti Kebangsaan Malaysia, 1978
- Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981
- Titian Zaman (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982
- Bahasa Alam (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984
- Bintang Mengerdip (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984
- Bunga Gerimis (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986
- Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985
- Mengenang-Mu: Puisi-puisi Melayu Berunsur Islam (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989
- Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990
- Wajah Diri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995
- Puncak Rindu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996
- Madu Ilmu. Jabatan Persuratan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999

Kajian
- Kesusasteraan Melayu dan Islam (antologi bersama). Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise, 1980
- Kesusasteraan dan Etika Islam (antologi bersama). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1981
- Pemikiran Islam Kini (antologi bersama). Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah, 1983
- Bahasa dan Sastera Nusantara (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984
- Pertemuan Dunia Melayu 82 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987
- Shafie Abu Bakar dan Mohamad Anwar Omar Din, 1997 Peradaban Melayu. Jabatan Persuratan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dikemaskini pada 25 Nov 2008

Tiada ulasan:

:: KURSUS :: BAHAN :: MESEJ :: CONTOH :: MOTIVASI :: FORUM ::