Ahad, 21 Februari 2010

Menggali makna teks A Samad Said

SEMINAR pemikiran Sasterawan Negara (SN) A Samad Said di Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyorot Pemikiran politik SN
Datuk (Dr) A Samad Said yang tersembunyi di sebalik kontroversi dan
permainan diksi dalam karyanya.
Perbincangan dan perdebatan terhadap novel Salina umpamanya lebih
terarah kepada watak Salina sebagai pelacur dengan perang sebagai latar
cerita berbanding isu sosial yang melingkari masyarakat bawahan yang
terpinggir.
Pada masa sama, pemilihan dan permainan diksi A Samad dalam puisinya
yang terkenal dengan bahasa lembut, tetapi menikam menyembunyikan bacaan
politik SN kelahiran Durian Tunggal, Melaka itu memaksa pembaca menyelami
makna di sebalik simbol yang digunakannya.
Seminar anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP itu, turut
menyelak tabir kontroversi dan permainan diksi A Samad untuk melihat
dimensi baru dalam pemikiran SN terbabit dan memanfaatkannya bagi
penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan sastera di negara ini.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Hanapi Dollah,
menolak tanggapan Salina hanya sekadar cerita pelacur kerana novel itu
dianggap sebagai hegemoni balas mewakili kelompok bawahan dan terpinggir
yang menentang ideologi kelompok dominan.
"Sekiranya Salina hanya bercerita mengenai pelacuran, kemungkinan besar
bab sekitar pilihan raya ditiadakan, sebaliknya kewujudan babak itu boleh
dianggap cerita yang menyatakan pelacuran berkait dengan kuasa kerana ia
tidak membela kelompok pinggiran berkenaan.
"Novel ini seolah-olah menyarankan kelompok pinggiran perlu
memperlihatkan tindakan mereka kepada golongan berkuasa untuk memberitahu
mereka dipinggirkan," katanya ketika membedah Melayu Pinggiran: Salinan
dalam Bacaan Pengajian Budaya.
Prof Hanapi turut melihat kelompok pinggiran di mata A Samad perlu
dibebaskan daripada ikatan ideologi `orang besar' yang hanya pandai
berjanji dan bertindak berani dengan membuat pilihan sendiri, tanpa
dikawal hegemoni golongan dominan pada pilihan raya.
"Gagasan keberanian membuat pilihan bebas ini adalah hegemoni balas
yang datang daripada rakyat kerana bahagian akhir Salina mengenai pilihan
raya, membayangkan pengarangnya mengangkat pilihan raya adalah waktu
rakyat membebaskan diri daripada terus dikuasai `orang besar'.
"Sudah tentu hegemoni balas ini belum wujud secara jelas 50 tahun lalu
kerana rakyat masih dikuasai ideologi feudal dan kolonial sehingga agak
keterlaluan jika menuntut ia ditampilkan secara jelas seperti
pertembungan Hang Tuah dengan Hang Jebat," katanya pada seminar yang
dirasmikan Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz.
Pada seminar yang dihadiri kira-kira 100 peserta termasuk SN Arena Wati
dan Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP, Mohamad Daud Mohamad
itu, Prof Hanapi turut menjawab kritikan pengkaji terhadap Salina yang
didakwa hanya memaparkan kedaifan sedangkan A Samad sebenarnya
menunjukkan penyelesaiannya melalui kuasa pilihan raya.
"Apabila kuasa ada, orang tidak layak jadi guru boleh dipilih sebagai
calon, manakala orang tidak berumah boleh diberi rumah, sekali gus novel
ini mengatakan kemelaratan boleh ditamatkan sekiranya ada campur tangan
kuasa," katanya.
Selain itu, A Samad turut dilihat mengemukakan saranan manusia kecil
dan pinggiran mengadakan `perang posisi' seperti pandangan pemikir Itali,
Antonio Gramsci, agar kelompok terbabit bersedia untuk bertanding dengan
menggunakan hegemoni-balas.
Pandangan Gramsci turut dipakai Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof
Madya Dr Krishanan Maniam, yang mengkaji cerpen SN itu menggunakan Teori
Subaltern yang dikemukakan pemikir Itali terbabit dan didukung oleh
sejarawan India, Ranajit Guha.
Teori Subaltern sebagai Teori Pascakolonial, mengetengahkan penindasan
golongan penjajah yang berkuasa untuk menutup mulut anak pribumi sehingga
menenggelamkan budaya rakyat yang ditindas.
"Meskipun A Samad melihat cerpennya sebagai protes sosial, Teori
Subaltern menegaskan ia adalah suara kemanusiaan daripada golongan yang
tidak diberi peluang itu kerana karyanya banyak mempamerkan golongan
tidak bernasib baik dan tertekan ini dengan penuh prihatin.
"A Samad dengan penuh prihatin membawa manusia kerdil di daerah
pedalaman dan lorong sesak serta kotor yang tidak mempunyai kedudukan
pada mata masyarakat sehingga mereka terpaksa berjuang untuk memperbaiki
kehidupan seharian," katanya ketika membicarakan Cerpen-cerpen A Samad
Said dan Suara Kemanusiaan.
Menggunakan Teori Subaltern, Dr Krishanan melihat masyarakat pinggiran
yang tidak menerima pembelaan dan tidak dihiraukan dalam cerpen Ke Daerah
yang Lebih Kerdil, Langit Malam Tiada Berbintang, Dari Tanah ke Tanah,
Sebuah Bangunan Tiga Tingkat, Daun Jejawi, Dari Tingkap Sebuah Bangunan
dan Perempuan dari Kampung Kambing.
Dr Krishanan melihat Ke Daerah yang Lebih Kerdil dengan kisah
pembangunan tidak berfaedah kepada golongan memerlukan kerana keputusan
dibuat kelompok mewakili hagemoni yang hanya mementingkan diri kerana
melakukannya dengan kehendak dan dominasi pemikiran mereka saja.
"Dalam cerpen ini, A Samad memberi gambaran isi hati orang kampung yang
terpaksa keluar dari tempat asal untuk memberi jalan kepada pembangunan
rumah pangsa, tetapi ironinya penghuni asal dihalau bagi membina rumah
kepada mereka yang tidak berumah," ujarnya.
Malah, suara masyarakat miskin yang berpindah randah tanpa tempat
tinggal tetap, tidak didengari pihak atasan dan pembuat keputusan kerana
golongan tertindas tidak punya suara memaksa A Samad mengutarakan nasib
mereka dengan perbincangan ketidakupayaan dalam memiliki rumah.
Pensyarah UKM, Mohamad Nazri Ahmad pula menggunakan Teori Persejarahan
Baru apabila mengkaji teks drama, Wira Bukit dengan melihatnya dalam
konteks ciri teori itu, fotokopi, yang melihat kisah sejarah dan fakta
sebenar dalam karya sastera.
Fotokopi A Samad turut memperlihatkan perkembangan politik tanah air
berlatarkan dekad 1970-an dengan memaparkan mesyuarat pemilihan calon
bagi pilihan raya, sekali gus menyatakan ciri pemimpin dikehendaki dan
sifat pemimpin yang patut ditolak secara jujur.
"Antara ciri pemimpin politik gagasan A Samad melalui perbincangan dan
perdebatan watak ialah pemimpin bersifat kepimpinan hampir sempurna
seperti berkaliber memimpin. Pemimpin yang mencongak kuasa dengan
kepentingan rakyat atau kelihatan miskin, tetapi saudara-maranya secara
senyap-senyap menjadi kaya, wakil rakyat `bisu' dan tersengguk-sengguk
dalam dewan perlu ditolak," katanya.
Ketika merincikan Wira Bukit: Tinjauan Persejarahan Baru dalam Melihat
Petanda Pemikiran Kepolitikan A Samad Said, Mohamad Nazri turut
meletakkan drama itu berciri idealistik kerana bertolak daripada
keinginan membangunkan negara berteraskan kepercayaan dan perjuangan
tulus.
"Kepulangan Zahdi membawa pelbagai tanggapan daripada sudut politik,
kemanusiaan dan keagamaan kerana ada melihatnya sebagai wira politik yang
mahu bertapak kembali, manakala sebahagian lagi menafsir kehadirannya
menambah jurang kemanusiaan serta harapan.
"Tidak kurang juga yang melihat kepulangannya untuk `membersihkan' noda
dan dosa lampaunya, sedangkan sebahagian pula melihatnya sebagai galang
ganti akibat keganasan perang dulu," katanya.
Dalam rangka ilmu semiotik, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM),
Shamsudin Othman, menganggap kumpulan puisi Dirgahayu Dr Mahathir
memperlihatkan A Samad mengambil kira konsep berhikmah, tawaduk, menegur
dan mendidik sejajar dengan prinsip pemikiran insaniah dalam surah
an-Nahl lewat ayat ke-125.
"Sesuatu yang menguja dalam puisi Dirgahayu Dr Mahathir ialah pemilihan
simbol peluru, stesen, kuda, keris, perisai, dapur dan rempah, menjadi
tanda sinis yang tidak boleh lari daripada petanda kekuatan, kekuasaan,
percaturan serta asam garam yang terpaksa dilalui pemimpin di tampuk
kuasa.
"Pemilihan tanda itu membayangkan kepada kita bahawa jika tanda yang
menjadi simbol kehebatan itu tidak dihormati, maka pasti musibah bakal
berlaku," katanya ketika melapah Sinis Melayu dalam Suara dari Dinding
Dewan dan Dirgahayu Dr Mahathir: Satu Pembicaraan Semiotik.
Shamsuddin mengaitkan senario politik semasa seperti parti pemerintah
tidak dapat mempertahankan kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan
raya lalu dan gejala harubiru bangsa Melayu dengan kegagalan untuk
menghormati tanda berkenaan.
REAKSI
"Sekiranya Salina hanya bercerita mengenai pelacuran, kemungkinan besar
bab sekitar pilihan raya ditiadakan, sebaliknya kewujudan babak itu boleh
dianggap cerita yang menyatakan pelacuran berkait dengan kuasa kerana ia
tidak membela kelompok pinggiran berkenaan"
Prof Dr Hanapi Dollah
Pensyarah UKM
"Sajak Kepada Pemimpin yang Itu, ditujukan khas kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersifat lebih sinikal dan
memperlihatkan pemilihan tanda alam semula jadi yang mendominasi diksi A
Samad"
Shamsudin Othman
Pensyarah UPM

Tiada ulasan:

:: KURSUS :: BAHAN :: MESEJ :: CONTOH :: MOTIVASI :: FORUM ::