Sabtu, 27 Februari 2010

EDU 5280 - Kesusasteraan Dalam Bahasa Melayu

Kepada rakan-rakan yang sedang menyiapkan tugasan teruskan usaha anda. Berikut ialah panduan pemilihan bahan untuk menyediakan tugasan:

1. Pilih salah seorang daripada tujuh (7) orang Sasterawan Negara.

2. Pilih SATU daripada karya daripada SATU gerne beliau (sajak, cepen, drama, novel).

3. Baca karya tersebut hingga matang dan kaitkan dengan satu teori kritikan sastera seperti hermanutik, semantik, psikoanalisis, gender, persuratan Melayu Baru, pasca kolonial...dan lain-lain

4. sediakan slaide persembahan untuk sesi pembentangan (10 minit).

5. buat pembentangan hari sabtu (4 April 2010) - 20 markah


Berikut ialah senarai tajuk buku pilihan rakan :

Norsham - Daerah Zeni (A Samad Said)

Noraini - Keledang (A Samad Said)

Zanariah - Tulang-tulang Berserakan (Usman Awang)

Wan Buanan Wan Hussain - Sampah (Shahnon Ahmad)

Mastura Mohamed - Sutan Baginda (Shahnon Ahmad)

Karya belum dipilih :

Keris Mas - Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesucian, Anak Titiwangsa

Usman Awang - Gelombang, Duri dan Api, Salam Benua

Shahnon Ahmad - Ranjau Sepanjang Jalan, Serengenge, Shit, Sutan Baginda, Rentong, Terdedah, Menteri, Protes, Kemelut, Seluang Menodak Baung, Al-Shiqaq, Tivi..dan lain-lain

A Samad Said - Salina

Arenawati - Tsudara, Trilogi

Abdullah Husein - Imam, konserto terakhir

Muhammad Hj Salleh - Tanggang (antologi puisi)

Nordin Hassan - mENCARI nUR Atma, Sireh Bertepuk Pinang Menari

S Othman Kelantan - Jogho

Anwar Ridhwan - Hati-hari TeraKHIR sEORANG sENIMAN

PERHATIAN :

Kepada rakan-rakan yang lain sila SMS atau emelkan tajuk karya pilihan tuan-tuan dan puan-puan untuk membolehkan ia dimasukkan dalam laman sesawang ini. Hal ini boleh membantu mengelakkan daripada berlaku pertindihan ulasan karya sama. Tuan-tuan dan puan-puan boleh membuat ulasan daripada penulis sama dan dari sudut teori atau kritikan aspek sama tetapi tidak boleh menyentuh karya (cerpen, novel, puisi, drama) yang sama sahaja. Untuk keterangan lanjut boleh berhubung dengan Tn Hj Shamsuddin Othman di talian : 013 3423166 atau Wan Buanan Wan Hussain : 019 914 6808

Terima kasih (Blogger MPPBMP)

Ahad, 21 Februari 2010

Menggali makna teks A Samad Said

SEMINAR pemikiran Sasterawan Negara (SN) A Samad Said di Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyorot Pemikiran politik SN
Datuk (Dr) A Samad Said yang tersembunyi di sebalik kontroversi dan
permainan diksi dalam karyanya.
Perbincangan dan perdebatan terhadap novel Salina umpamanya lebih
terarah kepada watak Salina sebagai pelacur dengan perang sebagai latar
cerita berbanding isu sosial yang melingkari masyarakat bawahan yang
terpinggir.
Pada masa sama, pemilihan dan permainan diksi A Samad dalam puisinya
yang terkenal dengan bahasa lembut, tetapi menikam menyembunyikan bacaan
politik SN kelahiran Durian Tunggal, Melaka itu memaksa pembaca menyelami
makna di sebalik simbol yang digunakannya.
Seminar anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP itu, turut
menyelak tabir kontroversi dan permainan diksi A Samad untuk melihat
dimensi baru dalam pemikiran SN terbabit dan memanfaatkannya bagi
penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan sastera di negara ini.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Hanapi Dollah,
menolak tanggapan Salina hanya sekadar cerita pelacur kerana novel itu
dianggap sebagai hegemoni balas mewakili kelompok bawahan dan terpinggir
yang menentang ideologi kelompok dominan.
"Sekiranya Salina hanya bercerita mengenai pelacuran, kemungkinan besar
bab sekitar pilihan raya ditiadakan, sebaliknya kewujudan babak itu boleh
dianggap cerita yang menyatakan pelacuran berkait dengan kuasa kerana ia
tidak membela kelompok pinggiran berkenaan.
"Novel ini seolah-olah menyarankan kelompok pinggiran perlu
memperlihatkan tindakan mereka kepada golongan berkuasa untuk memberitahu
mereka dipinggirkan," katanya ketika membedah Melayu Pinggiran: Salinan
dalam Bacaan Pengajian Budaya.
Prof Hanapi turut melihat kelompok pinggiran di mata A Samad perlu
dibebaskan daripada ikatan ideologi `orang besar' yang hanya pandai
berjanji dan bertindak berani dengan membuat pilihan sendiri, tanpa
dikawal hegemoni golongan dominan pada pilihan raya.
"Gagasan keberanian membuat pilihan bebas ini adalah hegemoni balas
yang datang daripada rakyat kerana bahagian akhir Salina mengenai pilihan
raya, membayangkan pengarangnya mengangkat pilihan raya adalah waktu
rakyat membebaskan diri daripada terus dikuasai `orang besar'.
"Sudah tentu hegemoni balas ini belum wujud secara jelas 50 tahun lalu
kerana rakyat masih dikuasai ideologi feudal dan kolonial sehingga agak
keterlaluan jika menuntut ia ditampilkan secara jelas seperti
pertembungan Hang Tuah dengan Hang Jebat," katanya pada seminar yang
dirasmikan Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz.
Pada seminar yang dihadiri kira-kira 100 peserta termasuk SN Arena Wati
dan Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP, Mohamad Daud Mohamad
itu, Prof Hanapi turut menjawab kritikan pengkaji terhadap Salina yang
didakwa hanya memaparkan kedaifan sedangkan A Samad sebenarnya
menunjukkan penyelesaiannya melalui kuasa pilihan raya.
"Apabila kuasa ada, orang tidak layak jadi guru boleh dipilih sebagai
calon, manakala orang tidak berumah boleh diberi rumah, sekali gus novel
ini mengatakan kemelaratan boleh ditamatkan sekiranya ada campur tangan
kuasa," katanya.
Selain itu, A Samad turut dilihat mengemukakan saranan manusia kecil
dan pinggiran mengadakan `perang posisi' seperti pandangan pemikir Itali,
Antonio Gramsci, agar kelompok terbabit bersedia untuk bertanding dengan
menggunakan hegemoni-balas.
Pandangan Gramsci turut dipakai Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof
Madya Dr Krishanan Maniam, yang mengkaji cerpen SN itu menggunakan Teori
Subaltern yang dikemukakan pemikir Itali terbabit dan didukung oleh
sejarawan India, Ranajit Guha.
Teori Subaltern sebagai Teori Pascakolonial, mengetengahkan penindasan
golongan penjajah yang berkuasa untuk menutup mulut anak pribumi sehingga
menenggelamkan budaya rakyat yang ditindas.
"Meskipun A Samad melihat cerpennya sebagai protes sosial, Teori
Subaltern menegaskan ia adalah suara kemanusiaan daripada golongan yang
tidak diberi peluang itu kerana karyanya banyak mempamerkan golongan
tidak bernasib baik dan tertekan ini dengan penuh prihatin.
"A Samad dengan penuh prihatin membawa manusia kerdil di daerah
pedalaman dan lorong sesak serta kotor yang tidak mempunyai kedudukan
pada mata masyarakat sehingga mereka terpaksa berjuang untuk memperbaiki
kehidupan seharian," katanya ketika membicarakan Cerpen-cerpen A Samad
Said dan Suara Kemanusiaan.
Menggunakan Teori Subaltern, Dr Krishanan melihat masyarakat pinggiran
yang tidak menerima pembelaan dan tidak dihiraukan dalam cerpen Ke Daerah
yang Lebih Kerdil, Langit Malam Tiada Berbintang, Dari Tanah ke Tanah,
Sebuah Bangunan Tiga Tingkat, Daun Jejawi, Dari Tingkap Sebuah Bangunan
dan Perempuan dari Kampung Kambing.
Dr Krishanan melihat Ke Daerah yang Lebih Kerdil dengan kisah
pembangunan tidak berfaedah kepada golongan memerlukan kerana keputusan
dibuat kelompok mewakili hagemoni yang hanya mementingkan diri kerana
melakukannya dengan kehendak dan dominasi pemikiran mereka saja.
"Dalam cerpen ini, A Samad memberi gambaran isi hati orang kampung yang
terpaksa keluar dari tempat asal untuk memberi jalan kepada pembangunan
rumah pangsa, tetapi ironinya penghuni asal dihalau bagi membina rumah
kepada mereka yang tidak berumah," ujarnya.
Malah, suara masyarakat miskin yang berpindah randah tanpa tempat
tinggal tetap, tidak didengari pihak atasan dan pembuat keputusan kerana
golongan tertindas tidak punya suara memaksa A Samad mengutarakan nasib
mereka dengan perbincangan ketidakupayaan dalam memiliki rumah.
Pensyarah UKM, Mohamad Nazri Ahmad pula menggunakan Teori Persejarahan
Baru apabila mengkaji teks drama, Wira Bukit dengan melihatnya dalam
konteks ciri teori itu, fotokopi, yang melihat kisah sejarah dan fakta
sebenar dalam karya sastera.
Fotokopi A Samad turut memperlihatkan perkembangan politik tanah air
berlatarkan dekad 1970-an dengan memaparkan mesyuarat pemilihan calon
bagi pilihan raya, sekali gus menyatakan ciri pemimpin dikehendaki dan
sifat pemimpin yang patut ditolak secara jujur.
"Antara ciri pemimpin politik gagasan A Samad melalui perbincangan dan
perdebatan watak ialah pemimpin bersifat kepimpinan hampir sempurna
seperti berkaliber memimpin. Pemimpin yang mencongak kuasa dengan
kepentingan rakyat atau kelihatan miskin, tetapi saudara-maranya secara
senyap-senyap menjadi kaya, wakil rakyat `bisu' dan tersengguk-sengguk
dalam dewan perlu ditolak," katanya.
Ketika merincikan Wira Bukit: Tinjauan Persejarahan Baru dalam Melihat
Petanda Pemikiran Kepolitikan A Samad Said, Mohamad Nazri turut
meletakkan drama itu berciri idealistik kerana bertolak daripada
keinginan membangunkan negara berteraskan kepercayaan dan perjuangan
tulus.
"Kepulangan Zahdi membawa pelbagai tanggapan daripada sudut politik,
kemanusiaan dan keagamaan kerana ada melihatnya sebagai wira politik yang
mahu bertapak kembali, manakala sebahagian lagi menafsir kehadirannya
menambah jurang kemanusiaan serta harapan.
"Tidak kurang juga yang melihat kepulangannya untuk `membersihkan' noda
dan dosa lampaunya, sedangkan sebahagian pula melihatnya sebagai galang
ganti akibat keganasan perang dulu," katanya.
Dalam rangka ilmu semiotik, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM),
Shamsudin Othman, menganggap kumpulan puisi Dirgahayu Dr Mahathir
memperlihatkan A Samad mengambil kira konsep berhikmah, tawaduk, menegur
dan mendidik sejajar dengan prinsip pemikiran insaniah dalam surah
an-Nahl lewat ayat ke-125.
"Sesuatu yang menguja dalam puisi Dirgahayu Dr Mahathir ialah pemilihan
simbol peluru, stesen, kuda, keris, perisai, dapur dan rempah, menjadi
tanda sinis yang tidak boleh lari daripada petanda kekuatan, kekuasaan,
percaturan serta asam garam yang terpaksa dilalui pemimpin di tampuk
kuasa.
"Pemilihan tanda itu membayangkan kepada kita bahawa jika tanda yang
menjadi simbol kehebatan itu tidak dihormati, maka pasti musibah bakal
berlaku," katanya ketika melapah Sinis Melayu dalam Suara dari Dinding
Dewan dan Dirgahayu Dr Mahathir: Satu Pembicaraan Semiotik.
Shamsuddin mengaitkan senario politik semasa seperti parti pemerintah
tidak dapat mempertahankan kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan
raya lalu dan gejala harubiru bangsa Melayu dengan kegagalan untuk
menghormati tanda berkenaan.
REAKSI
"Sekiranya Salina hanya bercerita mengenai pelacuran, kemungkinan besar
bab sekitar pilihan raya ditiadakan, sebaliknya kewujudan babak itu boleh
dianggap cerita yang menyatakan pelacuran berkait dengan kuasa kerana ia
tidak membela kelompok pinggiran berkenaan"
Prof Dr Hanapi Dollah
Pensyarah UKM
"Sajak Kepada Pemimpin yang Itu, ditujukan khas kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersifat lebih sinikal dan
memperlihatkan pemilihan tanda alam semula jadi yang mendominasi diksi A
Samad"
Shamsudin Othman
Pensyarah UPM

Krisis kritikan hingga hegemoni sastera

Oleh: AZMAN ISMAIL

PERBINCANGAN kesusasteraan Malaysia sepanjang tahun ini ternyata tidak cukup hanya berkisar kepada perkembangan dan jatuh bangun karya-karya itu sendiri.

Ada yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Terdapat aspek yang cukup penting sebagai medium untuk menghampiri dan mengupas sesebuah karya iaitu bidang kritikan.

Bidang ini menjadi wilayah perbincangan yang cukup menarik untuk diperkatakan. Dan sepanjang tahun ini, fenomena kritik menjadi sebuah krisis dalam perkembangan sastera tanah air.

Malah, oleh banyak pihak diasumsikan lebih jauh, bahawa sepanjang 2007 sesungguhnya tidak ada krisis sastera itu tetapi polemik untuk kritikan sastera yang masih belum menampakkan titik akhirnya.

Jika persoalan ini mempunyai kebenarannya, kesusasteraan Malaysia ternyata masih gagal memelaskan diri daripada persoalan lama, iaitu mewujudkan teori kritikan yang benar-benar mendunia sifatnya.

Masalah teori kritikan sastera tempatan yang masih belum matang bukanlah persoalan baru yang terdengar. Hal ini seringkali juga menjangkau pandangan tentang tidak adanya tokoh pengkritik dianggap benar-benar berwibawa. Kalau pun pandangan kritikannya tajam, jiwanya tumpul!

Malah, teori-teori tempatan tidak diaplikasikan dalam bentuk buku sebagai medium rujukan oleh para ‘pengikutnya’. Ia sama sekali berbeza dengan teori-teori kritikan barat.

Tidak dinafikan ada pencetus teori kritikan sastera tempatan seperti Mana Sikana yang cukup rajin menghasilkan buku mengenai teori gagasannya, teksdealisme dan pengaplikasiannya dalam kritikan.

Sebahagian besar buku teori sastera yang beredar di Malaysia pada umumnya ditulis oleh penulis asing dan tentang teori sastera Barat. Orang Malaysia pada umumnya baru sampai pada tahap menjadi penterjemah.

Sebagai contoh buku Rene Wellek dan Austin Warren (1949) Theory of Literature (diterjemahkan menjadi Teori Kesusastraan), buku Raman Selden (1985), A Reader’s Guide to Contemporary Literary Theory diterjemahkan sebagai Teori Sastera Masa Kini.

Buku Raman Selden, Practicing Theory and Reading Literature: An Introduction (1989) turut diterjemahkan oleh Dewan bahasa dan Pustaka (DBP). Ia dianggap suatu karya yang cukup baik sebagai pengantar teori-teori kritikan Barat.

Selain itu, para pengkritik dan pembaca tempatan turut didedahkan dengan karya-karya terjemahan ke bahasa Indonesia seperti buku A. Teeuw (1984) Sastera dan Ilmu Sastera: Pengantar Teori Sastera.

Karya tersebut misalnya, cuba merumuskan dan memberi penjelasan secara menyeluruh tentang teori sastera - sastera Barat dari perspektif yang berbeza.

Usaha untuk mentransformasi teori-teori sastera Barat yang berorientasikan teori pendekatan M.H Abrams – meliputi ekspresif, objektif, mimesis dan pragmatik berdasarkan teori komunikasi linguistik Roman Jakobson dapat ditemukan dalam karya iti.

Sarjana seperti Mana Sikana dalam beberapa tulisan mutakhirnya mengupas kedudukan teori Abrams dan Jakobson tersebut dengan begitu baik. Ia meliputi pengenalan serta penerapan romantik, Marxis, formalistik, strukturalistik dan orientasi pembaca.

Beliau membezakan sastera kedua kepada dua aspek iaitu kreativiti penciptaan (puisi, novel, cerpen dan naskhah drama) manakala ruang kajian sastera adalah ilmu (teori, kritikan dan sejarah sastera) dengan karya kreatif sebagai objeknya.

Mana Sikana juga turut menjelajah ke dalam teori kritikan sastera mutakhir Barat seperti kritikan sastra baru (new criticism) termasuk aliran posmoden seperti teori feminisme dan gay.

Usaha beliau tersebut sangat penting pada suatu sisi untuk memperkenalkan teori-teori yang muncul sezaman dengan kritikan sastera baru. Ini kerana bersamaan dengan aliran itu lahir pula mazhab baru formalisme Rusia yang lebih berorientasi pada bentuk (form) dengan titik utama kajian ialah pada narasi atau cerita.

Formalisme Rusia inilah yang menjadi pencetus strukturalisme Prague. Selain berorientasi pada bentuk, mereka juga menganggap pentingnya autonomi karya sastera.

Strukturalisme tersebut akhirnya berkembang pesat dalam pelbagai disiplin seperti linguistik, sastera, antropologi, mitologi, sejarah dan psikologi. Ia turut memasuki dunia falsafah terutama dengan aliran fenomenologi dan hermeneutik.

Dalam pada itu, sepanjang tahun 2007, DBP dianggap paling aktif menganjurkan pelbagai seminar dengan Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad (November) dan Seminar Majlis Sastera Asia Tenggara -Mastera (Disember) sebagai penutup.

Sebelum itu, pelbagai seminar berkaitan sastera dan bahasa turut dianjurkan. Namun, agak malang tidak ada satu kolokium, wacana atau forum khusus pun yang memperkatakan teori-teori kritikan tempatan.

Sebahagian besar kertas kerja mengenai sastera tempatan dalam seminar-seminar sepanjang 2007 hanya menerapkan teori-teori Barat. Pada hal cukup ‘banyak’ teori tempatan dihasilkan.

Sejak teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Puitika Melayu (Muhammad Salleh), Rasa-Fenomenologi (Sohaimi Abdul Aziz hingga terbaru, Konseptual Kata Kunci (Mohamad Mokhtar Abu Hassan) tidak pernah diperkatakan secara tuntas.

Selain itu, walaupun beberapa teori kritikan tempatan diutarakan, tidak ada susulan oleh para ‘penciptanya’. Mereka sekadar menerapkan dalam kajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah atau Sarjana dan mungkin digunakan dalam seminar-semionar tempatan.

Penerbitan buku atau kajian ilmiah khusus mengenai teori-teori tersebut tidak ada. Ia sama sekali berbeza dengan gagasan pengkritik Barat yang diterbitkan dalam bentuk tulisan ilmiah.

Oleh itu, para sarjana dan pengkritik sastera yang mencetuskan teori kritikan tidak boleh menyalahkan teori-teori Barat jika ia menguasai kritikan sastera tempatan. Ini kerana mereka melontarkan segala idea mereka secara tuntas dan lengkap.

Berbanding dengan sarjana-sarjana tempatan (sebahagian) yang hanya tahu melontar teori tetapi tidak pernah berusaha memperkasakan gagasan mereka itu dalam bentuk atau cara yang sewajarnya.

Teori sastera merupakan salah satu bahagian daripada tiga bidang kajian selain sejarah sastera dan kritikan sastera. Ketiga-tiganya saling berkaitan erat. Pemahaman sastera melalui teori akan sangat mempengaruhi penguasaan sejarah dan kritikan.

Peranan buku teori sebagai sebuah gagasan pemikiran dan wacana kritikan seseorang sangat perlu. Kekuatan sesebuah teori Barat sangat dipengaruji oleh penulisan.

Tanpa buku bukanlah jalan termudah untuk memahami konsep teori sastera dalam kaitannya dengan sastera Malaysia dan hanya menunjukkkan sarjana yang ‘tumpul’ jiwanya.

Ada keluhan, jabatan-jabatan sastera mandul dan tidak banyak melahirkan intelektual yang benar-benar menguasai teori, penulisan serta sejarah sastera. Majoriti pensyarah adalah sarjana yang ‘ketakutan’ menghadapi teori.

Tidak ada dialog dan kritikan, teori pun dimitoskan. Bila ada, kritikan lebih banyak memperkatakan aspek formaliti, iaitu struktur asal bahasa dalam sesebuah karya hingga menenggelamkan erti sesebuah teks. Padahal kritikan yang baik mesti mampu menjangkaui ke dalam struktur batin penulisnya.

Sebenarya bidang kritikan telah menjadi agenda dan pokok perbahasan besar para sarjana tempatan sejak 1980-an. Banyak pengkaji sastera mengemukakan cadangan supaya bidang tersebut keluar daripada kepompong teori Barat.

Namun, hanya selepas 1990-an baru lahir teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar dan beberapa lagi selepasnya. Tetapi percaya atau tidak, kita masih lagi terpenjara dalam teori-teori Barat hingga kini. Alasannya cukup mudah - ia berkaitan dengan sikap dan tidak ada keyakinan sarjana tempatan terhadap teori tempatan.

Krisis kritikan sastera hari ini masih merupakan persoalan yang sangat rumit dan kompleks apabila para pengkritik juga sebenarnya sedang berhadapan dengan hegemoni karya.

Kritikan sastera di Malaysia juga menjadi sesuatu yang ketinggalan disebabkan kekurangan karya-karya yang menarik, baik dan benar-benar memikul tanggungjawab sastera sebagaimana pernah ditonjolkan oleh Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Azizi Abdullah dan lain-lain.

Karya-karya serius di Malaysia hari ini sedang berhadapan dengan hegemoni sastera picisan yang lebih mempunyai tempat dan khalayak serta penerbit dengan alasan komersial.

Tanpa disedari oleh banyak pihak, persoalan inilah yang paling mewarnai sastera Malaysia sepanjang 2007. Ketiadaan karya-karya serius yang baik menyebabkan karya picisan berjaya merebut hegemoni dengan paparan ‘estetika’ hingga memojokkan karya serius.

Oleh itu, semoga 2008 akan menjadi tahun untuk para pengkritik dan penerbit untuk mewadahi semua hasil pemikiran dan gagasan kritikan dengan lebih tersusun.

APLIKASI ANALISIS KANDUNGAN: SECEBIS PENGALAMAN SEORANG PENYELIDIK/PENELITI.

Oleh: Azmi Rahman.


Pengenalan.

Esei ini bukanlah merupakan suatu kertas yang gah terhasil oleh seorang sarjana/ penyelidik, apatah lagi kalau dinamakan seorang yang berpengalaman. Namun, atas semangat kesarjanaan dan keintelektualiti, saya memberanikan diri bercakap dan membentangkan secebis pengalamanan dalam usaha menyiapkan tulisan dan penyelidikan dengan menggunakan kaedah analisis kandungan yang berada dalam subjenis penyelidikan kualititatif. Bertitik tolak dari premis bahawa kita harus belajar dan berguru dengan orang lain, maka saya mengambil peluang dan kesempatan ini untuk belajar juga mengenai penyelidikan kualititatif khususnya menggunakan kaedah analisis kandungan. Contoh-contoh penyelidikan yang akan saya adalah penyelidikan dalam bidang kesusasteraan dan bahasa Melayu di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di dalam dan di luar negara. Kebanyakan hasil penyelidikan tersebut telah diterbitkan dalam bentuk buku ilmiah.



Metod penyelidikan : Kualitatif versus Kuantitatif.

Kedua-dua metod penyelidikan ini diaplikasikan oleh para penyelidik dalam pelbagai bidang ilmu. Malahan ada juga penyelidik yang menggabungkan kedua-dua metod penyelidikan dalam usaha menghasilkan dapatan yang lebih bermakna. Campbell (1956), yang mula memperkenalkan metod triangulation (triangulasi) dalam bidang sains sosial. Sebelum itu, triangulasi dipraktikkan dalam bidang navigasi, ketenteraan, pembuatan peta dan aktiviti tinjauan.



n Mentafsir kedua-dua jenis penyelidikan ini, tiada titik penamatnya.

(Dabbs, dalam Berg, 1989, h. 2 menyatakan bahawa, “Qualitative and quantitative are not distinct.”).

n Melihat objektif penyelidikan – yang tersurat dan tersirat ialah sumbangannya kepada bidang ilmu

n Setiap metod penyelidikan sama ada kuantitatif atau kualitatif pasti ada kekuatan dan kelemahan

n Dalam ruang kesarjanaan dan ilmiah, kita tidak mempertikaikan metod, analisis dan dapatan, apatah lagi jika penyelidikan tersebut telah diperakukan oleh para sarjana dan sesebuah institusi akademik dan bukan akademik.



Penyelidikan kualitatif?

Ada kalanya sebagai penyelidik, terpeta di mindanya sama ada segalanya adalah angka atau teks. Barangkali soalan dan penyataan berikut muncul di minda penyelidik.



n Apakah peranan angka dalam penyelidikan?

n Adakah dapatan mesti dibuktikan dengan angka?

n Adakah valid atau tidak valid dapatan kajian, kalau tanpa angka?

n Adakah angka boleh dimanipulasikan demi membuktikan dan membenarkan dapatan penyelidikan?

n Bolehkah kejujuran penyelidik dipertikaikan?

n Adakah kajian teks sepenuhnya sukar dimanipulasi dapatannya?

n Dapatan kajian adalah objektif dan subjektif = selari dengan teori, konsep atau model yang dinyatakan sebagai panduan.

n Teori dalam penyelidikan kualitatif dibangunkan tanpa angka.

n Bagaimana kalau dikatakan bahawa suatu teori terhasil daripada penyelidikan kualitatif dan tidak daripada penyelidikan kuantitatif? Contoh: Teori sastera Islam oleh Prof. Emeritus Shahnon Ahmad terhasil daripada penyelidikan/ pemerhatian/ pengalamannya terhadap genre sastera Islam, Teori puitika Melayu oleh Profesor Muhammad Haji Salleh, mengambil masa hampir satu dekad membina dan membangunkan sebuah teori estetik, berdasarkan pengalamannya/ penyelidikannya yang panjang ke seluruh institusi ilmu yang menyimpan dan mengajar bahasa dan kesusasteraan Melayu – di Jepun, di Jerman, di Amerika Syarikat, dan di England, Prof. Hashim Awang dengan teori psikoanalisis dari Barat, kemudian terbina teori psikoanalisis pewarnaan tempatan, Dr. Shafie Abu Bakar dengan teori takmilah, Mohamad Affandi Hassan sinonim dengan teori estetika tauhid, Mana Sikana mengembangkan teori intertektualiti, Dr. Sohaimi Abdul Aziz dengan gabungan teori klasik India dengan Barat, terbinalah teori rasa-fenomenologi, Dr. Umar Junus dengan teori sosiologi sastera (Barat) bukan teori mandiri, teori perang dalam sastera Melayu oleh Prof. Dr. Shahlan Mohd. Saman, Dr. Azhar M. Simin, dengan teori analisis wacana Melayu berdasarkan kata ‘yang’ dalam bahasa Melayu, dan sebagainya.



Analisis kandungan?

Holsti (dikutip dalam Berg, 1989, h. 224) menyatakan bahawa analisis kandungan ialah “any technique for making inferences by systematically and objectively identifying special characteristics of messages.”



Pada saya maksud analisis kandungan merangkumi aktiviti berikut:



n Membaca, meneliti, memilih, dan menyaring teks yang dikenal pasti sebagai bahan/ data penyelidikan.

n Teks termasuklah dokumen, buku, surat, elektronik mel, video, cd, foto dan catatan/ diari.

n Kandungan teks pelbagai, misalnya kata, frasa, ayat, imej, warna, aksi, dialog, bunyi, dan setiap yang tersurat dan tersirat.

n Analisis adalah secara sistematik, teratur dan bersandarkan suatu kerangka teori, konsep atau model.



Data bahasa dan sastera?

n Data mengenai bahasa dan sastera Melayu terlalu banyak dalam pelbagai genre, misalnya puisi, prosa, dokumen, surat, prasasti, dll.

n Ruang masa/ zaman bermula pratulisan/ lisan sehinggalah zaman kontemporari.

n Kebijaksanaan dan minat penyelidik menentukan arah penyelidikannya kerana ia melibatkan data/ bahan dan hal-hal lain berkaitan penyelidikan.

n Data yang sama di tangan penyelidik tetapi dimensi tumpuan penyelidikannya berbeza. Misalnya teks adikarya Melayu, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dianalisis dari dimensi pengurusan, sejarah, bahasa, strategi kepimpinan, politik, sosiobidaya dan pemikiran Melayu.



Titik bergeraknya penyelidikan: Teknik analisis kandungan.

n Berdasarkan penelitian, penyelidikan ilmiah di peringkat Ijazah Kedoktoran di IPTA, Malaysia terutamanya dalam bidang kesusasteraan dan bahasa Melayu, menerapkan/ mengaplikasikan sebuah/ kombinasi teori yang relevan.

n Teori sedia ada; teori sosiologi sastera, teori psikoanalisis, teori estetik, teori stilistik, teori kata kunci, teori struktural, teori intertektualiti, teori moral, teori simbolisme/ teori semiotik, teori wacana, teori simbolisme, dll.

n Teori yang dimodifikasikan. Contohnya teori rasa-fenomenologi, teori kata kunci, dan teori estetik bacaan.

n Teori baru/ teori mandiri terutamanya dalam bidang kesusasteraan Melayu. Contohnya ialah teori puitika Melayu, teori psikoanalisis tempatan, teori takmilah, teori intertekstualiti, dan teori SP4L.



Tahap-tahap analisis kandungan?


1. Kenal pasti bidang, misalnya kesusasteraan Melayu – pantun, mantera, syair, peribahasa, sajak, novel, cerpen, drama, dan lirik lagu.

2. Kenal pasti dan pengumpulan, penyaringan, dan penetapan data/ bahan kajian.

3. Kenal pasti teori yang relevan/ membangun teori/ mencanai teori/ mendekatkan teori dengan data/ memasukkan teori dengan data.

4. Kategorikan/ klasifikasikan – secara umum atau khusus mengikut subkategori

5. Analisis teks – peringkat penulisan.




Nota:

Tahap 1, 2 dan 3 mungkin saling berubah keutamaannya.



Rujukan

Berg, B.L. (1989). Qualitative research methods for the social sciences (third edition). Needham Heights: Allyn & Bacon.



azmirahman

SalamSintok@

Sastera Islam berasaskan teori Takmilah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm


VAKUM akal dan pemikiran sesetengah individu yang berpandangan sempit terhadap agama Islam turut memberi kesan terhadap karya sastera. Sastera adalah medium paling halus yang boleh membawa arus pemikiran dalam masyarakat.

Lalu, apabila kesedaran Islam meningkat dan memberi impak kepada perkembangan sastera Malaysia, ia dilihat sebagai fenomena positif.

Selaras dengan itu, sastera Islam mula dikaji di Malaysia. Shafie Abu Bakar mengutarakan satu konsep iaitu Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid. Kemudian, beliau menggunakan istilah takmilah dalam Nadwah Sastera Islam Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 1993. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Takmilah: Teori Sastera Islam.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Samsina Abd. Rahman, teori takmilah berdasarkan kepada tujuh prinsip dengan bertunjangkan sifat kamal (kesempurnaan) Allah s.w.t. dan al-kamil Rasulullah s.a.w. dalam membina karya berunsur Islam.

Teori ini bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya melibatkan pelbagai aspek iaitu ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil, keislaman yang bersifat akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah, pengkarya yang mengistikmalkan diri dan khalayak ke arah insan kamil.

Istikmal merujuk kepada pengkarya yang perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Dalam hal ini, sastera boleh berperanan dalam menyempurnakan ilmu lain seperti sains, perubatan, kejuruteraan, geografi dan sejarah. Kebanyakan penulis mempunyai latar belakang berbeza seperti Aminah Mokhtar, seorang jururawat yang menghasilkan karya-karya berunsur agama.

“Karya sastera Islam yang asli bersifat lebih syumul (menyeluruh). Teori takmilah, menurut Shafie, mempunyai dua komponen utama iaitu komponen falsafah dan teknik berkarya,” jelas Samsina yang mengkhusus dalam Kesusasteraan Melayu khusus dalam Puisi Islam, Teori Sastera Islam (Takmilah) dan Kesusasteraan Melayu Mistik (tasawuf).

Beliau berpendapat, perkembangan sastera Islam di Malaysia terbahagi kepada dua. Pertama, penulis muda yang berlatar belakang pendidikan agama yang cenderung menulis tentang Islam. Sudut kedua ialah penulis terkenal yang memilih karya berunsur Islam sesuai dengan peningkatan umur mereka. Antara hasil karya berunsur Islam ialah novel Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussin, kumpulan puisi al-Amin karya A. Samad Said yang juga Sasterawan Negara dan novel Muhammad Akhir karya Anas K. Hadi Maja.

“Contohnya, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari yang aktif melahirkan puisi Islam serta Faisal Tehrani dengan genre cerpen dan novel menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penulis muda.

“Bagaimanapun, penglibatan penulis wanita dengan karya berunsur Islam tidak begitu ketara kerana kita juga kekurangan penulis wanita,” ujar beliau yang turut aktif melahirkan puisi-puisi berunsur Islam.

Sastera Islam perlu lebih fokus kerana ia membabitkan ilmu agama, fardu ain dan fardu kifayah. Penulis sastera Islam mempunyai tugas berat kerana setiap karyanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Soal agama bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.

Perkembangan sastera Islam negara dipercayai bermula pada 1930-an. Ia semakin ketara pada 1970-an kerana ketika itulah berlakunya kebangkitan Islam. Melalui kerjasama antara DBP dan persatuan penulis setiap negeri, karya sastera berunsur Islam semakin bercambah dengan kemunculan penulis-penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.

MAKLUMAT SHAFIE ABU BAKAR:

SHAFIE ABU BAKAR
(Shafie bin abu Bakar, Dr.)

LAHIR : 27 Mei 1942, di Paka, Dungun, Terengganu.
ALAMAT : No. 11, Jalan 1/3K, Bandar Baru Bangi, 43650 Bangi, Selangor Darul Ehsan.


DAERAH kelahirannya begitu jauh terpencil dalam kelompok kehidupan tradisi Melayu, namun kesedaran mindanya (ibu bapanya meninggal sejak kecil) terhadap pendidikan amat besar. Shafie menerima pendedahan awal pengajian agama di Pondok Islahiah, Kuala Berang sehinggalah beliau memohon memasuki Sekolah Arab setelah terpengaruh dengan rakan-rakannya yang ramai bersekolah di situ. Dengan latar belakang pendidikan agama yang kukuh, beliau berusaha mencipta puisi yang bertemakan Islam. Apabila menjadi ahli akademik di pusat pengajian tinggi, Shafie gigih mencari dan meneliti teori kesusasteraan Islam melalui sumber pemikiran dan estetika dalam sastera Melayu.

Shafie mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Kampung Nyiur, Paka, Terengganu dari tahun 1949 hingga 1955 dan di Sekolah Arab Kuala Berang dari tahun 1956 hingga 1958. Pada tahun 1958 hingga 1962 Shafie belajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan lulus Ibtidai 5 dan Thanawi 9. Semasa menjadi guru Sekolah Menengah Agama di Terengganu (1963–1970) Shafie belajar secara persendirian dan lulus Sijil Rendah Pelajaran pada tahun 1964, Sijil Pelajaran Malaysia (1966) dan Sijil Tinggi Pelajaran (1969). Apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada tahun 1970, Shafie adalah antara mahasiswa sulungnya. Di situ Shafie memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian Kelas Satu pada tahun 1974. Shafie turut memperoleh Diploma Pendidikan dengan Kepujian dari universiti yang sama pada tahun 1975. Kemudian pada tahun 1977, Shafie mendapat Ijazah Sarjana Persuratan dan akhirnya pada tahun 1991 Shafie memperoleh Ijazah Doktor Falsafah juga dari UKM.

Selepas menamatkan pengajian menengah, beliau menjadi guru dan mengajar di beberapa buah sekolah menengah agama di Terengganu dari tahun 1963 hingga 1970, termasuklah di Sekolah Menengah Arab di Sekolah al-Ma’arif Kampung Raja Mohamad Arif, Besut dan Sekolah Menengah Arab Sultan Ismail, Dungun. Pada tahun 1974 hingga 1976, Shafie menjadi pengajar di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM. Beliau menjadi pensyarah bergelar Profesor Madya di Jabatan Persuratan Melayu, UKM dan bidang pengajaran beliau ialah Falsafah Islam dan hubungannya dengan pemikiran Melayu. Selepas bersara (Mei 28 1999) beliau bergiat dalam Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Kajang) mulai November 1999.

Shafie mula menulis pada tahun 1962, iaitu sewaktu dalam Kelas Thanawi di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin. Semangat menulisnya banyak didorong oleh penulis – bekas pelajar sekolah tersebut seperti Ibrahim Fikri, Misbaha dan Alias Ali. Beliau pernah menyertai peraduan menulis cerpen untuk kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi gagal memenangi sebarang hadiah. Namun Shafie tidak berputus asa. Beliau terus menghantar karyanya ke DBP dan maklum balas yang diperoleh begitu memberangsangkan. Akhirnya, hasil daripada ketekunan dan kesabarannya, puisi beliau yang berjudul “Asas Peribadi” mendapat tempat dalam majalah Dewan Bahasa, Mac 1971. Sejak itu, puisi dan esei beliau sering disiarkan dalam Dewan Masyarakat, Mastika, Dian, Kiblat, Al-Islam, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Banyak tulisan ilmiah beliau yang menyentuh sastera Islam dan Islam sebagai ad-Din diterbitkan dalam pelbagai buku ilmiah. Sejak tahun 1993, Shafie memperkenalkan pula Teori Takmilah, iaitu teori sastera Islam berasaskan perspektif sastera Melayu. Beliau kini giat mengolah dan memperkembangkan teori tersebut sebagai usaha menemukan satu bentuk sastera Islam yang bersumberkan estetika dan pemikiran dalam sastera Melayu.

Puisi-puisi Shafie termuat dalam banyak antologi bersama, antaranya ialah Puisi Baharu Melayu 1961-1986, Mengenang-Mu: Puisi-puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Puisi Sepanjang Zaman, Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985, Modern Malaysian Poetry dan Puisi-puisi Nusantara. Beliau telah beberapa kali memenangi Hadiah Karya Sastera bagi genre puisi, iaitu pada tahun 1975, 1976 dan Hadiah Sastera Malaysia 1984/85.

Pengalaman serta sumbangan kreatif, pemikiran dan kepakaran Shafie yang luas dalam bidang kesusasteraan mendapat pengiktirafan daripada pelbagai organisasi. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Istilah Kesusasteraan, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia, MABBIM, 1992, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengajian Melayu 1992/93, Panel Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan DBP 1988/89, 1990/91, 1992/93. Beliau juga dilantik sebagai Panel Peraduan Novel Darul Iman anjuran Kerajaan Negeri Terengganu 1990/91, Panel Hadiah Sastera Malaysia, 1986/87, 1988/89, 1990/91, 92/93, 94/95, 96/97, 98/99. Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa “Knows Our Neighbour” kelolaan Toyota Foundation pada tahun 1980 hingga 1983. Selain itu, Shafie juga ialah Penyelaras Projek Penerbitan Jabatan Pengajian Melayu dan Fakulti, Hakim Peraduan Cerpen Berunsur Islam ke-V, VI dan VII anjuran Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam (kini JAKIM) pada 15 September 1982 hingga 1986.

KARYA
Puisi
- Puisi-puisi Bangi (antologi bersama). Bangi: Grupemuisi Universiti Kebangsaan Malaysia, 1978
- Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981
- Titian Zaman (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982
- Bahasa Alam (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984
- Bintang Mengerdip (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984
- Bunga Gerimis (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986
- Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985
- Mengenang-Mu: Puisi-puisi Melayu Berunsur Islam (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989
- Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990
- Wajah Diri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995
- Puncak Rindu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996
- Madu Ilmu. Jabatan Persuratan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999

Kajian
- Kesusasteraan Melayu dan Islam (antologi bersama). Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise, 1980
- Kesusasteraan dan Etika Islam (antologi bersama). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1981
- Pemikiran Islam Kini (antologi bersama). Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah, 1983
- Bahasa dan Sastera Nusantara (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984
- Pertemuan Dunia Melayu 82 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987
- Shafie Abu Bakar dan Mohamad Anwar Omar Din, 1997 Peradaban Melayu. Jabatan Persuratan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dikemaskini pada 25 Nov 2008
:: KURSUS :: BAHAN :: MESEJ :: CONTOH :: MOTIVASI :: FORUM ::